Kekerasan Bunuh Hubungan Suami Isteri
Tertarik dengan satu artikel yang disiarkan di Harian Metro, antaranya seperti yang terkandung dibawah:

Pasangan sepatutnya saling berkasih sayang, mempunyai sifat belas ihsan dan baik hati TINDAKAN kekerasan terhadap wanita berlaku dalam masyarakat melangkaui batasan kumpulan etnik dan agama. Sesetengah diperlakukan sesuka hati, diherdik dan dipukul, malah dirogol tanpa simpati dan belas ihsan.


Rogol adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan hubungan seksual tanpa keizinan atau kemahuan. Mangsa mengalami kemusnahan hidup dan trauma yang sukar digambarkan.

Jika ia berlaku di antara pasangan suami isteri, ia sungguh mengaibkan! Memang jarang diperkatakan, tetapi sedar atau tidak, ia suatu isu sosial yang berlaku dalam masyarakat. Kajian menunjukkan kekerasan di antara suami dan isteri ini selalunya bersifat kekejaman dalam senyap. Bahkan, secara umum ia memberikan kesan lebih teruk dan traumatik terhadap mangsa, walaupun kerap kali ia dilihat tidak serius.

Lazimnya kes rogol membabitkan orang asing hanya mengakibatkan kemusnahan terhadap diri dalam satu kejadian, tetapi dalam ikatan perkahwinan mengakibatkan kemusnahan bersiri, bahkan memakan waktu bertahun-tahun. Apabila dirogol suami, anda sebenarnya tinggal dengan perogol! Cukup janggal bunyinya bukan tetapi kenapa seorang lelaki merogol isterinya?Jika diperhatikan, kebanyakan wanita yang dilaporkan dirogol suaminya memberikan persetujuan untuk mengadakan hubungan seksual. Jadi, sejauh mana Islam menilai isu penderaan domestik ini?

Apabila diperhatikan kepada nas, baik daripada al-Quran dan hadis, tiada istilah kekerasan mutlak seharusnya digunakan terhadap isteri mahupun suami. Islam memberikan penekanan kepada konsep saling berkasih sayang antara suami isteri. "Dan, di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir." (ar-Ruum: 21)Bekas Presiden Pertubuhan Islam Amerika Utara, Dr Muzammil H Siddiqi, berkata hubungan antara pasangan suami isteri sepatutnya berasaskan kesejahteraan, kasih sayang dan belas ihsan.

Menurutnya, tiga ciri itu adalah konsep yang sangat penting dalam agama dan menyumbang ke arah pembentukan perkahwinan Islam yang ideal. Suami dan isteri juga katanya, harus mengetahui yang mereka adalah sumber kesejahteraan dan keselesaan antara satu sama lain."Mereka sepatutnya melakukan setiap perkara secara fizikal, emosi dan rohani untuk membuatkan diri pasangan berasa gembira dan selesa. Mereka perlu menjaga diri setiap pasangan," katanya.

Dalam Islam, suami dan isteri tidak dibenarkan menuntut sesuatu yang bertentangan dengan agama, termasuklah segala bentuk kekerasan dan perkara yang tidak betul dengan norma agama dan kemanusiaan. Hubungan seksual adalah kehendak dan keinginan semula jadi. Dalam Islam, ia hanya dibenarkan antara pasangan yang dibenarkan dan oleh kerana itu, kehendak terbabit harus dipertimbangkan kedua-dua pihak.

Katanya, wanita sepatutnya memberikan tindak balas secara postif dan lelaki juga sepatutnya tidak sekali-kali memaksa isterinya, tetapi isteri tidak sepatutnya menunjukkan keangkuhan, rasa meluat atau menolak apabila suami mendatanginya.Apa pun bagi suami, penafian isteri untuk mengadakan hubungan seksual sepatutnya menjadi tanda bagi suami yang menunjukkan isterinya tidak bersedia sama ada disebabkan emosi atau fizikal.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya dan saya adalah orang yang paling baik terhadap isteri." (Hadis riwayat Tabrani dan Tirmidzi)
1 Response
  1. Anonymous Says:

    yup..that's right!